Pelaksanaan OSS Dalam Sektor Awam

Sumber terbuka bermakna apabila sumber maklumat, kod, gambar, peta, pengarang dan semua yang berkaitan adalah boleh dilihat dan diubahsuai oleh orang awam atau sesiapa sahaja. Inisiatif Sumber Terbuka atau Open Source Initiative (OSI) telah dibentuk pada Februari 1998 oleh Eric S. Raymond dan Bruce Perens. Ia merupakan badan yang mengawal selia dan mewar-warkan konsep sumber terbuka. Konsep ini dibentuk untuk memadamkan anggapan setengah pihak bahawa perisian yang bebas atau percuma adalah anti-kormesial. Pihak Inisiatif Sumber Terbuka memberikan tiga kriteria yang dipanggil definisi sumber terbuka iaitu :

  1. Kos sumber mesti diedarkan bersama perisian atau jika tidak ia mesti disediakan tidak lebih dari kos pengedarannya.
  2. Sesiapa sahaja boleh mengedar semula perisian tersebut secara percuma tanpa membuat bayaran lesen atau royalti kepada penulisnya.
  3. Sesiapa sahaja boleh mengubahsuai perisian tersebut atau menghasilkan perisian lain daripadanya dan mengedar semula perisian yang telah diubahsuai di bawah syarat yang sama.


LATAR BELAKANG

Perisian sumber terbuka (OSS) bermula dengan International Business Machines (IBM) memperkenalkan komputer komersial pertama pada tahun 1960 menggunakan perisian sistem operasi yang disediakan secara percuma, ia boleh dikongsi bersama pengguna lain kerana disertakan bersama kod sumber terbuka yang boleh diubah suai dan diperbaiki. Keadaan tersebut berubah apabila pada penghujung 1960, IBM tidak lagi membekalkan perisian berkenaan dan kemunculan model perisian komersial boleh dikesan pada pertengahan 1970.

Perisian sumber terbuka (OSS) diasaskan oleh dua kumpulan utama yang mendukung pemberian perisian secara percuma di Amerika Syarikat. Richard Stallman, bekas pengaturcara di Makmal Kepintaran Buatan MIT, melancarkan Projek GNU dan Yayasan Perisian Bebas. Matlamat utamanya ialah membangunkan perisian sistem operasi secara percuma serta bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dan ia bermula dengan menyediakan perkakasan pengaturcara seperti pembangun dan penyunting.

Satu pihak lagi ialah Kumpulan Penyelidik Sains Komputer daripada Universiti California di Berkeley, membuat kajian untuk mempertingkatkan dan memperbaiki sistem Unix serta membangunkan banyak aplikasi yang dikenali sebagai BSDUnix.

Pada pertengahan tahun 1990, kebanyakan projek perisian terbuka menghasilkan perisian bermutu tinggi dan bermanfaat seperti Apache, Perl, XFree86, CNOME, KDE dan perisian paling terkemuka ialah Mozilla.

Perisian sumber terbuka (OSS) terus berkembang apabila Linus Torvalds, iaitu penuntut di Universiti Helsinki, Finland telah menghasilkan satu sistem yang melepasi standard Minix. Beliau memulakan kerjanya pada 1991 dan menghasilkan versi pertama 0.02 dan meneruskan penyelidikannya serta menghasilkan versi pertama kernel Linux. Kernel adalah jantung kepada sistem Linux yang dihasilkan menerusi Lesen Umum (GNU) manakala kod sumbernya adalah percuma kepada sesiapa saja yang memiliki idea untuk menambah baik perisian berkenaan.

Kelebihan Linux yang diedarkan secara percuma disamping ketahanannya, memiliki kepelbagaian fungsi dan mudah dimanfaatkan menyebabkan ia muncul sebagai sistem operasi pilihan kepada Microsoft dan Unix.

OBJEKTIF PELAKSANAAN PERISIAN SUMBER TERBUKA (OSS) DI SEKTOR AWAM

Berikutan dengan keputusan Kabinet Kerajaan Malaysia, Pelan Induk untuk Perisian Sumber Terbuka (OSS) Sektor Awam telah dilancarkan pada 16 Julai 2004 untuk menggalakkan dan memperluaskan lagi penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) di Sektor Awam. Fasa II Accelerated Adoption dimulakan sejak Februari 2007 dengan matlamat untuk mempergiatkan lagi pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) di seluruh sektor Awam di Malaysia. Antara objektif pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) ini adalah untuk :-

Mengurangkan kos keseluruhan pemilikan (Total Cost of Ownership – TCO). Kos efektif perisian sumber terbuka (OSS) selalunya datang dengan kos yang percuma. Ini dapat membantu negara menjimatkan perbelanjaan pelaksanaan ICT. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memaklumkan semasa berucap merasmikan Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2008 bahawa ”pelaksanaan inisiatif perisian sumber terbuka (OSS) oleh agensi kerajaan membolehkan kerajaan menjimatkan RM32 juta termasuk penjimatan sebanyak RM10 juta dalam projek perintis dan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) di 15 agensi sejak 2004”. Beliau juga memaklumkan bahawa ”penjimatan itu turut merangkumi RM22 juta yang meliputi penggunaan perisian ”Open Office” ke atas 10,682 komputer dan penggunaan 174 produk Open Source Competency Center (OSCC)”.

Meningkatkan kebebasan memilih penggunaan perisian. Objektif ini bagi mengelakkan berlakunya fenomena yang dikenali sebagai vendor lock-in atau terlalu bergantung hanya kepada satu vendor perisian. Keadaan vendor lock-in dikatakan tidak selamat kerana terlalu bergantung kepada vendor. Pengguna perlu bebas untuk memilih apa yang terbaik tanpa terikat dengan mana-mana vendor atau membayar caj yang tinggi untuk lesen perisian.

Meningkatkan interoperability antara sistem. Perisian pejabat Open Office mampu dimiliki dan ianya boleh dipasang dalam pelbagai sistem operasi sama ada Linux, sistem operasi Windows lama seperti Windows 95 dan 98. Ini bermakna fungsi perisian pejabat terkini boleh didapati tanpa perlu memikirkan untuk menaiktaraf sistem operasi atau komputer. Sistem operasi sumber terbuka seperti Linux dan keluarga BSD mampu dipasang di dalam perkakas-perkakas lama. Komputer-komputer generasi awal Pentium masih boleh menjadi komputer pelayan untuk dijadikan web server, pelayan email, DNS, DHCP dan pelbagai lagi.

Meningkatkan pertumbuhan industri ICT. Kerajaan menggalakkan secara serius penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) menerusi pelaksanaan Pelan Induk Perisian Sumber Terbuka untuk Sektor Kerajaan bagi semua agensi yang berkaitan sebagai langkah untuk menyuburkan lagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan serta merancakkan lagi budaya mencipta di negara ini. Seperti kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di dalam Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2008, ”Peningkatan penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) mampu meningkatkan perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat (ICT) sekaligus membangunkan industri ICT tempatan secara keseluruhan.”

Meningkatkan pertumbuhan industri perisian sumber terbuka (OSS). Pembangunan perisian sumber terbuka (OSS) boleh dilakukan secara bersama melalui internet tanpa perlu para pembangun duduk dalam satu tempat. Ia turut mewujudkan apa yang dikatakan usaha kerjasama antara para pembangun perisian daripada pelbagai pelusuk dunia saling menyumbang menghasilkan perisian sumber terbuka (OSS). Perisian sumber terbuka (OSS) dibangunkan menggunakan hasil pengalaman dan pengetahuan pakar-pakar serata dunia, mewujudkan kawalan mutu yang tinggi dan sistem pertolongan dalam talian pelbagai cara komunikasi internet sama ada emel, IRC, forum, blog dan sebagainya. Hasilnya wujud sistem operasi Linux, Desktop Gnome, KDE dan openOffice.org yang mampu malah telah menggugat pelbagai perisian lesen berbayar.

Meningkatkan pertumbuhan masyarakat berasaskan pengetahuan. Pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) dapat meransang pembangunan industri berasaskan pengetahuan. Ini kerana penghasilan perisian tersebut memerlukan kepakaran dan pengetahuan tinggi sekaligus merangsang dan meningkatkan harta intelek serta inovasi negara.

Mengurangkan jurang digital. Pelaksanaan inisiatif sumber terbuka (OSS) bagi sektor kerajaan adalah sebahagian daripada pelan Inisiatif Sumber Terbuka Kebangsaan bertujuan untuk meningkatkan kebebasan bagi memilih perisian yang hendak dimanfaatkan, menggalakkan perkembangan industri ICT tempatan dan seterusnya mengurangkan jurang digital.

CABARAN PELAKSANAAN PERISIAN SUMBER TERBUKA (OSS)

Pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) dijangka mengundang pelbagai implikasi, baik dari segi ekonomi, perundangan, sosial mahupun organisasi.

Dari segi perundangan, pembangunan aplikasi dengan perisian sumber terbuka (OSS) sekiranya mengandungi kod-kod yang terikat dengan syarat General Public License, perlu turut diedarkan kepada pengguna. Dalam keadaan ini, persoalan harta intelek akan menjadi tanda tanya.

Memerlukan kos migrasi dan penyenggaraan yang tinggi. Pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) memerlukan kemudahan dari segi peralatan perkakasan, perisian dan kepakaran. Semua kemudahan tersebut diperlukan agar penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen.

Terdapat pelbagai edaran yang mungkin menimbulkan masalah interoperabiliti.  Kajian ke atas hubungan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) dengan sistem legasi proprietari yang lain dalam organisasi. Samada pelaksanaan sumber terbuka (OSS) boleh berinteraksi dengan sistem yang sedia ada.

Kurang aplikasi komersial bagi menyokong perisian sumber terbuka (OSS).  Aplikasi yang ingin dibangunkan adakah sesuai menggunakan perisian sumber terbuka (OSS) selaras dengan tujuan yang ingin dicapai. Tidak semua sistem yang dibangunkan sesuai menggunakan perisian sumber terbuka (OSS) untuk pembangunannya.

Kurang platform perkakasan bagi menyokong perisian sumber terbuka (OSS). Perkakasan bagi menyokong perisan sumber terbuka (OSS) amat sedikit kerana ia tidak dibiayai oleh syarikat-syarikat besar seperti Microsoft Corp (Microsoft) yang mempunyai model perisian komersial yang dipasang pada lebih 500 juta komputer peribadi di seluruh dunia.

Kekhuatiran dari segi keselamatan kerana setiap pengguna boleh memperolehi kod sumber aplikasi yang dibangunkan. Konsep perisian sumber terbuka (OSS) adalah membenarkan kod-kod sumber tersebut diubah dan dibaiki oleh mana-mana individu dan pihak dengan syarat perubahan yang dilakukan dikongsikan semula kepada pembangun perisian sumber terbuka (OSS) dan orang ramai dengan mengekalkan bentuk asal perlesenan.

CADANGAN MENGATASI CABARAN DALAM PELAKSANAAN PERISIAN SUMBER TERBUKA (OSS)

Dari segi sosial dan organisasi, pengenalan sesuatu perkara baru dalam organisasi akan menghadapi cabaran dan rintangan yang akan mendatangkan ketidakstabilan prestasi. Kesediaan anggota organisasi untuk menerima teknologi baru perlu diikuti dengan latihan dan bantuan teknikal yang secukupnya. Bagi meningkatkan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS), beberapa perkara perlu diambil perhatian terutamanya dari segi :

Fit for purpose” . Pemilihan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) haruslah berdasarkan kesesuaian dengan ciri-ciri perisian dengan tujuan yang hendak dicapai. Contoh, sebagai permulaan perisian sumber terbuka (OSS) perlu dilaksanakan pada ”back end server”.

Pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) harus mengambil kira tentang kedudukan operasi semasa atau organisasi. Perkara ini penting dan perlu diambil perhatian terutama operasi yang melibatkan orang awam kerana ia melibatkan ekspektasi pelanggan.

Mengkaji hubungan dengan sistem legasi proprietari yang lain dalam organisasi. Pelaksanaan perisian sumber (OSS) seharusnya dapat memperkasakan organisasi dan seharusnya dapat berinteraksi bersama-sama dengan sistem legasi proprietari yang sedia ada.

Pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) membenarkan penggunaan kemudahan sedia ada dari segi kepakaran di agensi-agensi kerajaan tanpa melibatkan penggunaan sumber yang besar.

Pelaksanaan sumber terbuka (OSS) tidak harus dikawal atau dimonopoli oleh mana-mana vendor perkakasan atau perisian kerana ia boleh mengakibatkan inovasi serta R & D akan lenyap.

Pakar-pakar keselamatan perisian berpendapat bahawa pilihan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) atau proprietari tidak meningkatkan atau mengurangkan keselamatan dan apa yang perlu diberi perhatian adalah konfigurasi yang betul dan penyelenggaraan yang sempurna.

Menyedaikan knowledge bank iaitu perpustakaan elektronik utama kepada pelbagai rujukan, panduan dan berita yang berkaitan dengan perisian sumber terbuka (OSS) dan menjadi tempat bagi tujuan perkongsian ilmu dan kerjasama antara agensi, pihak swasta dan umum. Knowledge bank seperti yang telah disediakan oleh OSCC MAMPU.

Aktiviti promosi dan penerangan adalah antara perkara utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS). Kesedaran yang meluas akan membantu usaha-usaha agar pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) terus berjalan dan berkembang dengan sendirinya.

Latihan dan persijilan bagi perisian sumber terbuka (OSS) untuk perkhidmatan awam Malaysia yang diselaraskan dan disediakan oleh OSCC MAMPU dapat menghasilkan kepakaran dalam kerajaan Malaysia bagi menjayakan penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) dalam agensi kerajaan.

Sokongan teknikal perlu disediakan untuk menjadi rujukan atau mendapatkan khidmat nasihat semasa perisian sumber terbuka (OSS) dilaksanakan.

Penyelidikan dan pembangunan. R&D OSCC MAMPU bertanggungjawab untuk mengenalpasti aplikasi perisian sumber terbuka (OSS) yang sesuai digunapakai oleh agensi kerajaan. Aplikasi yang telah dikanalpasti akan dikemaskan dan dipakej semula bagi memudahkan pelaksanaan , penyebaran dan konfigurasi yang bersesuaian dengan penggunaan agensi kerajaan.

PENUTUP

Perisian sumber terbuka (OSS) dapat membantu kerajaan bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah menjana pendapatan kepada negara, mencipta peluang pekerjaan dan pada masa yang sama memberikan kemahiran yang diperlukan rakyat Malaysia.

Perisian sumber terbuka (OSS) juga memberikan pilihan kepada agensi kerajaan untuk bebas memilih perisian yang akan digunakan sama ada memberikan kelebihan seperti peningkatan produktiviti kepada agensi kerajaan, mengelak daripada terlalu bergantung kepada satu vendor perisian tunggal atau lebih cenderung kepada standard terbuka.

Bagi mencapai hasrat pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS), kita perlu membudayakan pembangunan perisian sumber terbuka (OSS) dalam dunia ICT Malaysia. Bersama-sama membangunkan pelaksanaan perisian sumber terbuka (OSS) oleh kita dan untuk kita. Bersama-sama menyumbangkan idea dan kreativiti dengan masyarakat antarabangsa bagi menaikkan nama Malaysia di mata dunia dalam bidang ICT amnya dan perisian sumber terbuka (OSS) khususnya.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: